Seseorang

Lewat hari ini, Cikgu Kehidupan ajar aku sesuatu : SETIAP ORANG ADALAH SESEORANG. Contoh, pakcik / makcik menunggang motosikal di jalanraya adalah seorang mak / abah kepada seseorang. Berbanding kita yang naik kereta ni, alangkah bertuahnya. Tak perlu berhenti berteduh bawah terowong kala hujan lebat, atau meredah hujan dalam kebasahan yang dahsyat. Aku taulah, suatu masa dulu pernah merasa itu semua. Bersyukurlah bersyukurlah bersyukurlah wahai diri sendiri.

Lalu, tika berkereta (eh apakah bahasa?) berilah laluan pada motor-motor ni. Jarakkan sikit dengan diorang. Apatah lagi pejalan-pejalan kaki. Mereka adalah seseorang. Bayangkan jika kita yang ada di tempat mereka. Bayangkan. Bayangkan tengah penat berjalan kaki di bahu jalan, tiba-tiba kereta lalu tepi laju-laju lalu terpercik air, atau debu-debu jalan.

Petang semalam. Hujan lebat di Putrajaya. Lebat selebatnya. Hujan laju-laju dan berat. Kereta banyak. Awan makin berat memuntahkan isi. Aku berhenti kat lampu isyarat merah. Presint 8 kot. Lampu hijau, kereta pun bergerak. Samar-samar di tengah jalan antara divider, aku ternampak seorang pakcik tua bertongkat. OKU, kelihatannya seperti tiada penglihatan. Diapit oleh dua remaja lelaki lingkungan usia mungkin 13-16 tahun. Hujan lebat membasahi baju mereka, lencun selencun-lencunnya.  Aku nampak dari cermin sisi, seorang dari remaja tu cakap sesuatu pada orang tua itu. Mahu melintas jalan barangkali, tapi tiada kereta mahu beri laluan. Hati tersentuh. Aku nak reverse. Ahh, belakang ada kereta.

Terus kereta bergerak ke depan. Aku berfikir-fikir. Mau u-turn atau tak. Fikir lagi. Fikir lagi. Aku perempuan. Seorang. Bahaya, dah petang ni, detik hati aku. Mau belok kiri? jalan balik rumah. Mau u-turn? Atau tak? U-turn? Atau tak? Macam mana kalau pakcik tu dah takde? Kan sia-sia?

Akhirnya, aku u-turn. Sah, mereka dah tak ada. Rasa bersalah menyelubungi. Macam-macam bermain di benak fikiran. Kenapa aku tak bantu dari tadi? Entah-entah tadi aku pun jadi tukang percik air kat diorang, menambah lencun diorang. Kenapa aku selfish? Kalau aku tolong dari tadi, mungkin situasi akan jadi lagi mudah. Masa tu hujan dah tak lebat sangat. Terjenguk-jenguk aku kiri dan kanan. Tiada bayang mereka (oh, memang takde bayang. waktu hujan matahari menyorok). Akhirnya, aku give-up, dan bergerak pulang penuh penyesalan. Emm mungkin mereka dibantu orang lain, mungkin mereka dah safe and sound sampai ke rumah (yang mana agak mustahil) ataupun sebenarnya semua tu bayangan aku je. Tuhan nak uji betapa aku ni selfish atau tak.

Siapa pun mereka, aku harap mereka selamat walau di mana mereka berada. Pasti ramai lagi insan kat bumi bertuah ni yang prihatin.Err kalau benda ni terjadi kat korang, apa yang korang buat ye?